PASIR MAS - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berharap konsep perpaduan kaum di negeri ini dapat dijadikan sebagai contoh dalam mengukuhkan lagi penyatuan pelbagai bangsa di Malaysia.
Beliau berkata, konsep itu selari dengan kepelbagaian kaum yang hidup dengan penuh rukun damai di negara ini.
"Situasi itu (penyatuan kaum) boleh dilihat dan dirasai sendiri oleh semua pihak dengan berkunjung ke negeri ini. Saya tidak berniat mengungkit semula peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969...namun di Kelantan perkara tersebut tidak berlaku.
"Orang Kelantan hidup sebagai satu keluarga. Minggu lalu saya menerima kunjungan dari Persatuan Lima Agama selain Islam dan kaum bukan Melayu. Semasa kunjungan itu Pengerusi Himpunan Dewan Perniagaan Cina Kelantan tersebut, dia waktu itu (13 Mei) berada di Pasir Mas, keluarga Melayu ambil (dia) duduk dengan mereka (orang Melayu).
"Sedangkan ketika itu tidak berlaku apa-apa, namun dia terkenang budi dengan keluarga Melayu itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Semarak Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Mas di Meranti pada Sabtu.
Menurut Mohd Nassuruddin, sejarah itu menjadi bukti bagaimana perpaduan kukuh telah wujud di Kelantan sejak sekian lama.
Beliau berharap konsep perpaduan kaum di negeri ini dapat disuburkan ke seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, sambutan Hari Malaysia yang sudah memasuki usia 60 tahun sepatutnya menjadikan rakyat negara ini matang dalam menjalani kehidupan dengan lebih bersatu padu.
"ALLAH jadikan manusia ini berbilang kaum, bangsa, bahasa, agama yang pelbagai dan itu adalah satu nikmat. Islam tidak pernah memaksa masyarakat lain untuk memeluk agama ini.
"Jadi semangat, perpaduan ini perlu dipupuk sebagai satu keluarga walaupun Malaysia mempunyai pelbagai kaum," katanya.