KUNJUNGAN juara 33 kali, Selangor FC ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak menentang Terengganu FC bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia disifatkan akan menguji karakter pemain The Red Giants.
Malah, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui dia dan barisan kejurulatihan berperang dengan masa dalam menyediakan pasukan yang benar-benar mantap untuk berdepan anak buah Tomislav Steinbruckner.
"Tiga minggu pemain tidak dapat berlatih bersama sebenarnya satu cabaran besar buat pasukan untuk mengembalikan semula momentum sebelum ini.
"Namun saya tidak mahu komitmen bersama pasukan kebangsaan dijadikan alasan pemain untuk tidak memberikan aksi terbaik masing-masing.
"Sebenarnya keadaan sebegini tidak hanya boleh memberikan kesan kepada Selangor tetapi pasukan lain sekiranya berada dalam situasi sama," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Sebagai rekod, empat pemain Selangor mendapat panggilan negara bersama Harimau Malaya manakala enam pemain pula dengan Harimau Muda selain dua mewakili pasukan Jordan bagi perlawanan antarabangsa.
Selangor sebelum ini menang 5-1 ke atas Terengganu FC dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 April lalu.
Bagaimanapun, Cheng Hoe mengakui dua perlawanan persahabatan menentang kelab Persiraja Banda Aceh (3-0) diikuti PSIS Semarang (3-3) di Indonesia, tanpa 12 tonggak utama sebelum ini secara tidak langsung membantu barisan kejurulatihan membentuk pasukan yang lebih mantap.
"Ya, objektif dalam dua perlawanan persahabatan di Indonesia sebelum ini memberikan kesan positif kepada pasukan.
"Para pemain sepanjang dua perlawanan itu juga telah memberikan komitmen terbaik masing-masing termasuk pemain bawah 23 tahun yang dibawa semasa perlawanan tersebut," katanya.
Dalam masa sama Cheng Hoe menegaskan misi The Red Giants adalah untuk meraih keputusan positif sebagai bekalan perlawanan timbal balik kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selepas ini.
"Ya, aksi Selangor, Terengganu satu perlawanan tumpuan dalam misi kedua-kedua pasukan memburu slot layak ke separuh akhir.
"Bagi Selangor, saya mahu pemain fokus kerana kejuaraan Piala Malaysia juga penting untuk pasukan Selangor, selain saingan Liga Super pada ketika ini.
"Terengganu juga dalam lima perlawanan terakhir memperoleh keputusan yang baik, dan tentu apabila beraksi di depan para penonton sendiri mereka mahu menghasilkan keputusan positif," ujarnya.