Orang Asli Lojing buat laporan polis dakwa penerokaan tanah berleluasa

Iklan
Orang Asli dari tiga penempatan di sini membuat laporan polis mendakwa berlaku pencerobohan tanah berdekatan penempatan mereka yang dikatakan semakin berleluasa sejak tiga bulan lepas - Gambar hiasan
GUA MUSANG - 30 Orang Asli dari tiga penempatan di sini membuat laporan polis mendakwa berlaku pencerobohan tanah berdekatan penempatan mereka yang dikatakan semakin berleluasa sejak tiga bulan lepas.

Mereka mewakili kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di perkampungan Kampung Cedal, Kampung Ber, dan Kampung Kerbok dari Pos Ber; serta Kampung Mendrod; dan Kampung Haed dari Pos Brooke.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah, 36, berkata, laporan dibuat berkaitan isu pembalakan dan juga perladangan, yang dipercayai akan dilaksanakan dalam masa terdekat setelah dimaklumkan oleh wakil syarikat pemaju, baru-baru ini.

"Ia juga melibatkan kawasan kebun penduduk dan berhampiran kawasan perkampungan, ia akan memberi kesan kepada keseluruhan aktiviti, malah cara hidup kita di sana akan terkesan jika projek ini dilaksanakan di tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru dekat sini pada Sabtu.

Wakil penduduk Kampung Mendrod, Pos Brooke, Legek Alang, 69, berkata, projek penanaman durian telah pun bermula di perkampungannya sejak Julai, yang mengakibatkan air kegunaan penduduk tercemar, justeru mengharapkan kawalan daripada pihak berwajib terhadap aktiviti tersebut.

"25 Julai lepas (pembukaan kebun) sudah bermula dan sekarang tinggi pokok telah mencecah kira-kira tiga kaki. Kami seramai lebih 500 penduduk sangat kecewa, sebab tanah dari projek kebun menyebabkan sungai menjadi keruh dan memberi kesan kepada tandak air kami,” katanya yang juga membuat laporan polis berkenaan permasalah terbabit.

Bagi penduduk Kampung Haed, Pos Brooke, Ramli Ajom, 34, juga berharap isu berkenaan mendapat pemantauan dari pihak kerajaan negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang, serta Jabatan Alam Sekitar ke atas masalah melibatkan tadahan air mereka.

Seorang penduduk Pos Ber, Uda Jenang, 59, berharap masalah penerokaan tanah yang didakwa semakin menjadi-jadi di kawasan penempatan mereka, mendapat perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.

"Saya merayu kepada kerajaan tolonglah jalankan projek di tempat lain dan jangan ganggu masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman. Kerajaan baharu ini tolonglah selesaikan dan dengarkan keluhan kami yang telah sekian lama tinggal di pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, mengesahkan menerima laporan dibuat kumpulan Orang Asli terbabit.

"Kami menerima tiga laporan dari 30 wakil Orang Asli dari penempatan di Tanah Tinggi Lojing,” katanya. - Bernama