PENYERANG skuad hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn bersyukur dapat membuktikan semula sentuhannya pada Sukan Asia Hangzhou 2022 setelah menjalani hukuman penggantungan awal tahun ini.
Walaupun digantung daripada beraksi bersama Malaysian Tigress, Hanis Nadiah berkata, hukuman tersebut langsung tidak melunturkan semangatnya untuk bekerja keras termasuk melakukan sesi latihan secara sendirian dalam usaha menambat semula hati Ketua Jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyenaraikannya semula ke dalam skuad kebangsaan.
"Setiap hari saya bekerja keras untuk kembali menyertai pasukan dengan melakukan lebih kerja dan latihan di luar padang dalam usaha membantu pasukan pada Sukan Asia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, baru-baru ini.
Pemain berusia 26 tahun itu yang teruja membuat penampilan kedua di Sukan Asia selepas edisi 2018 berkata, beliau mahu menggunakan pengalaman diraih di Jakarta-Palembang bagi membimbing 11 pemain yang bakal membuat penampilan sulung pada temasya empat tahun sekali tersebut.
Hanis pada masa sama juga mahu optimis skuad negara mampu mengulangi pencapaian edisi lepas untuk menamatkan saingan sebagai pasukan kelima terbaik pada Sukan Asia kali ini.
Dalam pada itu, Mohd Nasihin memuji komitmen tinggi dipamerkan Hanis Nadiah yang berusaha melakukan latihan sendirian sebelum dan pulang dari bekerja.
Pada 9 Februari lepas, Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara dan Konfederasi Hoki Malaysia membuat keputusan menggantung Hanis Nadiah susulan komen didakwa berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India AR Rahman di ibu negara, Januari lalu.
Keputusan tersebut menyebabkan beliau terlepas peluang mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang menyaksikan Malaysia muncul juara dengan menewaskan Thailand 4-1 di final.
Sementara itu, Mohd Nasihin tekad membuktikan pasukannya bukan hanya makan angin di Hangzhou sebaliknya yakin dapat mengumpul pengalaman sebanyak mungkin dalam membantunya membentuk pasukan yang lebih mantap pada edisi 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Malaysian Tigress diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura bagi Sukan Asia 2022.
Mereka bakal berdepan Hong Kong dalam perlawanan pertama kumpulan (25 Sept) diikuti India (29 Sept), Singapura (1 Okt) dan Korea Selatan pada 3 Oktober ini. - Bernama