Anak dalam kandungan mangsa kemalangan maut selamat

Iklan
Gambar kenangan Norhidayah Salmi (kiri, hadapan) bersama adik dan ahli keluarganya ketika makan di sebuah restoran pada Ogos lepas. Adiknya Norhafizah Sazwa (pakai niqab tengah) bersama arwah suami, Ammir Hussein Mohamad (tiga dari kiri).

KEMAMAN - Hebatnya kuasa ALLAH apabila anak dalam kandungan Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang sarat hamil tujuh bulan selamat meskipun terlibat dalam kemalangan maut akibat dirempuh sebuah lori pasir di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Simpang 4, Jalan Mak Lagam-Cheneh di sini, pada Jumaat.

Kakak sulung mangsa, Norhidayah Salmi Harun, 42, menceritakan jantung anak dalam kandungan adiknya terhenti seketika semasa pemeriksaan oleh doktor di hospital pada jam 10 malam.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah... syukur kepada ALLAH kerana anak dalam kandungan itu masih selamat.

"Ketika kejadian, adik saya yang memandu kereta terlibat kemalangan sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian perut.

Iklan

Pada Jumaat, tiga beranak maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah lori pasir di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Simpang 4, Jalan Mak Lagam-Cheneh di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut ialah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anak lelakinya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, serta Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1.

Iklan

Menurutnya, isteri Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa yang sedang hamil mengalami kecederaan di bahagian perut manakala anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Kemaman.

Mengulas lanjut, Norhidayah Salmi memberitahu adiknya masih terkejut dan berada dalam keadaan trauma akibat tragedi tersebut.

"Dia masih teringatkan arwah anak-anak dia. Sebab sudah kebiasaan pada waktu pagi anaknya yang berusia empat tahun itu selalu beri kejutan pada dia beritahu 'abang dah gosok gigi' dan sebagainya.

"Rutin harian dan perkara seperti itu membuatkan adik saya masih lagi teringat-ingatkan arwah anaknya," ujarnya.

Norhidayah Salmi memaklumkan dia reda dengan ketentuan ALLAH meskipun ia memberi kesan mendalam kepada mereka terutama adiknya yang kehilangan suami dan dua anak.

"Saya doakan terbaik untuk adik saya supaya diberi kekuatan. Ini ujian pada keluarga kami," katanya sambil menahan tangisan.