Budu Cina Kelantan dapat sambutan

Iklan
Kak B (kiri) dibantu oleh anaknya, Saffron dan Evonne (kanan) untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap budu vegetarian hasil air tangannya itu.

KOTA BHARU - Budu yang merupakan makanan ruji rakyat Kelantan turut digemari oleh kaum lain terutama masyarakat Cina.

Bagaimanapun, jarang sekali mendengar pembuatan budu dihasilkan oleh kaum Tionghoa itu memandangkan ia dimonopoli oleh orang Melayu.

Iklan
Iklan

Uniknya, sebuah keluarga Tionghoa di sini tidak pernah menyangka percubaan mereka membuat budu sendiri berasaskan sayur-sayuran (vegetarian) mendapat permintaan tinggi.

Doria Yap, 54, atau lebih dikenali sebagai Kak B memberitahu, budu sudah menjadi makanan 'wajib' buat mereka sekeluarga.

Iklan

"Sehinggalah pada tahun 2015 kami terpaksa berhenti makan budu kerana memilih untuk menjadi vegetarian.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia menggantikan ikan bilis dengan belacan yang diperbuat daripada kacang soya.

Iklan

Ujarnya, bahan-bahan lain sama sahaja dengan pembuatan budu biasa, malah ia mengambil masa selama tiga jam untuk dimasak.

Doria memberitahu, percubaannya itu berjaya menghasilkan budu yang mempunyai rasa sama dengan asli.

"Bermula daripada situ saya hanya membuat pembuka selera itu untuk dihidangkan di kedai vegetarian milik keluarga kami sahaja.

"Namun disebabkan ada permintaan daripada pelanggan, saya terpaksa membotolkan budu tersebut," katanya.

Tambahnya, lebih menarik ramai yang telah mencuba budu tersebut memberi maklum balas ia tidak memberi kesan alahan seperti gatal dan boleh dimakan oleh mereka yang mempunyai penyakit resdung.

Doria memberitahu, oleh kerana permintaan terhadap budu itu datang dari seluruh negara menyebabkan dia tidak menang tangan sehingga perlu dibantu oleh dua anak perempuannya Saffron Kang, 32, dan Evonne, 27.

Menurutnya, setiap hari mereka hanya mampu memasak serta menghasilkan 60 botol budu sahaja kerana tidak mempunyai kelengkapan mesin dan hanya dibuat secara manual.

Ujarnya, budu yang dijual dengan harga RM11 bagi 500 milimeter tersebut bukan sahaja digemari oleh rakyat Kelantan tetapi juga dari luar.

"Buat masa ini saya gunakan platfom TikTok dan Facebook untuk menjual budu ini.

"Saya akan cuba memperluaskan pasaran ke kedai-kedai serta pasar raya. Namun ia dalam proses kerana tidak mempunyai kilang dan hanya dihasilkan di kedai sahaja" katanya.