KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan laporan polis yang dibuat semasa Himpunan Selamatkan Malaysia, di sini bertujuan agar siasatan dapat dijalankan membabitkan kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, asasnya bagi melihat kronologi kes Ahmad Zahid dari awal pendakwaannya sehingga pelantikan Peguam Negara baharu.
"Banyak perkara meragukan, kita sebagai rakyat rasa ini adalah satu perbuatan yang ada berlaku manipulasi dari segi perundangan eksekutif dan lain-lain.
Beliau berkata, hari ini kami berjalan atas nama 'aman selamatkan Malaysia'.
Katanya, ini adalah konsep yang besar membabitkan banyak perjuangan rakyat dan untuk membetulkan keadaan dalam negara dari segi pentadbiran, tata kelola serta penyalahgunaan kuasa.
"Himpunan ini ada tiga tuntutan iaitu pertama mendakwa Ahmad Zahid.
"Kedua, kita mahu bebaskan SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara daripada kuasa eksekutif dan yang ketiga ialah keadilan kepada semua orang," ujarnya.
4 September lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.