KUCHING - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas dalam menangani isu guru yang menggunakan anak murid dalam kandungan (content) media sosial, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, susulan itu, garis panduan telah dikeluarkan bagi memastikan perlindungan diberi kepada anak-anak murid.
"Kita dalam keadaan kebanjiran idola, kemarau tauladan...adalah besar harapan saya untuk melihat warga pendidik menjadi suri teladan dalam masyarakat.
"Rakyat Malaysia itu adalah refleksi kepada gurunya, guru yang berintegriti, guru yang beradab tinggi dan guru yang berakhlak.
"Seorang guru perlu mempertahankan indoktrin kebangsaan dan benar-benar menjulang pendidikan negara,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, di sini malam Jumaat.
Tambah Fadhlina, pendidikan manusiawi itu penting dalam usaha kerajaan hari ini untuk membina Malaysia Madani dan pada penghujung bulan ini KPM akan mengeluarkan satu garis panduan dalam menangani kes buli, jenayah seksual dan perkauman.
"Kita tidak akan benarkan sesekali berlaku dalam institusi kita...dan guru adalah barisan hadapan bagi memastikan bahawa ketiga-tiga dosa besar ini tidak akan berlaku dalam institusi pendidikan,” katanya.
Pada majlis itu, Fadhlina turut mengumumkan memperuntukkan RM150,000 dari KPM kepada Institut Pendidikan Guru Batu Lintang untuk penyelenggaraan kerja-kerja kecil. - Bernama