KUALA TERENGGANU - Pesta Kopi Terengganu 2023 yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini berjaya menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung dari seluruh negara untuk merasai keenakan pelbagai jenis minuman kopi keluaran anak tempatan.
Penganjur acara, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, program yang julung kali diadakan di daerah ini melibatkan seramai 27 syarikat pempamer terdiri daripada pembekal biji kopi, pembekal mesin dan peralatan kopi, pembekal bahan minuman, pemilik kafe, gerai cenderahati dan hasil seni.
"Program diadakan bertujuan menarik minat sekali gus mempromosikan keistimewaan minuman kopi yang dihasilkan anak tempatan kepada orang ramai.
"Kita juga mahu tunjukkan kepada pengunjung bahawa perniagaan minuman kopi ini berpotensi menjana pendapatan lumayan terutama dalam kalangan anak muda.
"Selain itu, orang ramai boleh memperoleh sendiri maklumat tepat mengenai peluang perniagaan dan potensi industri kopi ini yang sangat cerah untuk diteroka pada masa hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Ahmad Haziq menambah, pihaknya turut mengadakan pertandingan seni kopi (latte art) dan pertandingan bancuhan kopi (brewing) melibatkan 50 peserta dari kafe dan kedai kopi terkemuka dari beberapa negeri termasuk pantai timur, Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Program yang merupakan anjuran Port Coffee Roaster bersama Ghostbird Coffee Roaster itu berlangsung selama tiga hari bermula 14 September lepas.
Pesta Kopi Terengganu itu juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) serta Malaysia Speciality Coffee Association (MSCA) sebagai antara tarikan pengunjung ke negeri berkenaan.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Isya Samsudin, 25, dan Faris Afiq, 27, masing-masing yang merupakan penggemar kopi tertarik dengan festival itu kerana menawarkan pelbagai jenis minuman kopi yang berkualiti dan unik.
"Saya tertarik dengan minuman kopi yang dijual di sini terutama perisa 'matcha latte'. Terdapat juga kafe-kafe yang menjual kopi unik yang jarang diketahui.
"Selepas ini bolehlah saya bersama suami kunjungi kafe mereka untuk rasai kelazatan kopi dihasilkan anak muda tempatan," ujar Isya.