SHAH ALAM - Dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong memberi kelainan apabila mengucapkan Selamat Hari Malaysia ke-60 kepada rakyat melalui pantun empat kerat.
Menerusi hantaran video berdurasi satu minit 18 saat di aplikasi X milik Ahmad pada Sabtu, mereka berdua dilihat berbalas pantun.
Steven pada awalnya meminta Ahmad belanja pantun sempena Hari Malaysia.
"Datuk Seri sekarang saya dekat Sarawak untuk jelajah Belanjawan 2024, minta belanja satu pantun Hari Malaysia untuk saya guna masa berucap," katanya.
Ahmad yang sedang menyemak Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan sibuk membantu menyediakan Bajet 2024 tidak keberatan memberi pantun kepada Steven.
"Hari Malaysia kita raikan, sejarah hayat tiga wilayah, bajet negara sedang disiapkan, untuk rakyat membina tuah," ujarnya.
Bagaimanapun, Steven pula tidak ketinggalan untuk membalas pantun Ahmad apabila diminta berbuat demikian.
"Tinggikan lelangit lantai diangkat, gabung hasrat kukuhkan rumah, bagikan bangkit rantai sepakat, gembleng kudrat luaskan rahmah," katanya.
Steven dan Ahmad kemudian sama-sama mengucapkan Selamat Hari Malaysia tahun 2023.
"Semoga persekutuan tiga wilayah berkekalan, perpaduan semua pihak berpanjangan," kata mereka.