KUALA LUMPUR - Rakyat berhak menuntut penjelasan dan keadilan undang-undang daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia berikutan Kerajaan Madani didakwa gagal menunaikan janji untuk membanteras rasuah ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
"Kita berjaya sampaikan mesej kepada rakyat kerana banyak perkara yang melibatkan tata kelola tidak diselesaikan dengan baik," katanya ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Malaysia di pusat membeli-belah Sogo pada Sabtu.
Beliau berkata, terdapat tiga tuntutan dibuat pihaknya iaitu mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara daripada eksekutif, serta kekalkan keadilan terhadap semua lapisan masyarakat.
Menurut Tun Faisal, perhimpunan tersebut bukan yang terakhir, sebaliknya ia merupakan permulaan kepada perjuangan rakyat.
Tegasnya, mereka akan terus bersuara bagi membela nasib masyarakat dan keadilan kepada rakyat.
"Usul menyelamatkan negara ini akan diteruskan dengan sokongan orang ramai.
"Terima kasih kepada semua yang prihatin kepada sistem perundangan negara," katanya.