Remaja lelaki lemas mandi sungai

Iklan
Anggota bomba membawa mayat remaja lelaki dipercayai mati lemas ketika mandi sungai.

KOTA TINGGI - Seorang remaja lelaki meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika mandi di sungai di Kampung Baru Felda Sungai Mas, di sini pada Sabtu.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Bandar Penawar, Abd Rahim Abd Rani, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai perkara berkenaan melalui talian MERS999 pada jam 10.12 pagi, Sabtu.

Iklan
Iklan

Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu jentera Emergency Medical Services (EMRS) serta lapan anggota telah dihantar ke lokasi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar terdapat seorang mangsa remaja lelaki berumur 13 tahun telah lemas semasa mandi di sungai.

Iklan

"Mangsa telah dilihat oleh orang awam dan telah dibawa ke kawasan selamat oleh orang awam sebelum PKO tiba di lokasi.

"Mangsa juga telah disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah hari, Sabtu," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sekitar 10.25 pagi, Sabtu.

"Kes disiasat di bawah kes Laporan Mati Mengejut," katanya.