SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang berbilang kaum adalah pemegang kunci untuk membangunkan perpaduan bagi membentuk negara yang kukuh.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, cabaran yang wujud ialah bagaimana untuk memupuk perpaduan nasional, bukannya hanya persoalan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, masyarakat berlainan etnik hendaklah sentiasa sedar akan keperluan untuk saling menghormati, sentiasa berwaspada dan peka terhadap sensitiviti agama serta budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.
"Dalam hal ini, bukan sahaja tentang apa yang kerajaan lakukan atau tidak tetapi sebagai rakyat, kita harus belajar untuk bertolak ansur serta perlu menerima kepelbagaian dan perbezaan antara satu sama lain.
"Berkenaan dengan masa depan, saya mengharapkan Malaysia di mana konsep keadilan kepada semua adalah nyata, tiada kumpulan yang dipinggirkan dan menyediakan sokongan serta peluang berdasarkan keperluan dan merit,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia pada Sabtu.
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia, gabungan antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia diumumkan di empat tempat ikonik seperti Kuala Lumpur, Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching dan Singapura.
Hari Malaysia tahun ini diraikan dengan tema sama Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.’
Sementara itu, Lam Thye menyatakan hasrat bahawa penting bagi rakyat Malaysia untuk memastikan negara yang berbilang kaum terus menjadi sebuah negara yang mempunyai persekitaran yang kondusif serta memberi galakan kepada masyarakat untuk mengembangkan potensi masing-masing.
"Dengan berbuat demikian, orang ramai akan sentiasa berbangga untuk mengenal pasti diri mereka sebagai rakyat Malaysia, dan kurang mengikut kaum, agama, geografi atau latar belakang sosio-ekonomi,” ujarnya.