KUALA TERENGGANU - Polis menafikan berita tular mengenai seorang gadis lembam yang dipercayai cuba dirogol oleh beberapa kenalan lelakinya, malam tadi.
Mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah dan menangis di tepi jalan di Kampung Losong di sini, telah diselamatkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, gadis berusia 15 tahun itu kini dalam keadaan selamat dan telah diserahkan kepada ahli keluarganya.
"Kita telah memanggil ibunya. Hasil siasatan terhadap mangsa, tiada kes cubaan rogol seperti yang ditularkan.
"Ibu gadis berkenaan memaklumkan yang anaknya memang keluar rumah dari pagi hari kejadian dan tidak balik-balik sehinggalah polis menghubungi memaklumkan dia dijumpai.
"Bagaimanapun, wanita itu memberitahu tidak membuat laporan polis kerana anaknya suka merayau tetapi akan balik rumah walaupun lewat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pagi tadi, tular di laman sosial Facebook dan menerusi aplikasi WhatsApp seorang gadis lembam ditemui menangis dan menjerit keseorangan di tepi jalan berhampiran kedai serbaneka di Kampung Losong, di sini.
Gadis itu dipercayai bertindak sedemikian setelah ditipu beberapa kenalan lelakinya yang cuba merogolnya.