LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan amaran tidak akan berkompromi dengan pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji dan hutang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan selepas tarikh akhir menghantar dokumen kewangan kelab berakhir pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, kelab yang mempunyai masalah hutang dan tunggakan gaji tidak akan diberikan lesen kebangsaan seperti yang berlaku kepada Sarawak United dan Melaka United musim ini.
Menurutnya, MFL mengambil serius isu tersebut dengan Kelantan FC menjadi antara pasukan yang mengalami masalah kewangan termasuk tunggakan gaji pada musim ini.
"Jumaat merupakan tarikh tutup hantar dokumen kewangan pasukan. Tarikh tutup untuk hantar semua dokumen adalah pada hujung bulan ini dan pengumuman pasukan yang mendapat lesen kebangsaan 2024 pada pertengahan bulan depan. Saya boleh kata MFL akan pastikan semua pasukan memulakan liga musim depan di luar hutang.
"Tidak meluluskan lesen kebangsaan akan menjadi tindakan terakhir dan bila perlu. Apabila kita ambil tindakan tegas ke atas Sarawak United dan Melaka United tahun lepas, ia adalah selepas beberapa peringatan dan langkah untuk memastikan mereka dapat selesaikan masalah tersebut.
"Bukan niat kami untuk tendang pasukan keluar, tetapi integriti dan kestabilan liga menjadi keutamaan MFL. Mana-mana kelab yang mempunyai tunggakan gaji dan hutang akan menjadi stigma kepada kelab yang tidak bermasalah," katanya pada Jumaat.
Untuk musim ini, Sarawak United tidak diberikan lesen kebangsaan selepas First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapati pasukan itu antaranya gagal memenuhi kriteria kewangan dan melunaskan gaji pemain.
Manakala, Melaka United pula didapati gagal melunaskan tunggakan gaji kepada pemain.
Sebelum ini, Kelantan menjadi antara tumpuan selepas berdepan pelbagai kemelut dalaman sehingga turut menjejaskan prestasi pasukan pantai timur itu.
"Kami harap pada Oktober nanti, tiada pasukan yang tidak dapat lesen. Di pihak MFL dengan hala tuju lembaga pengarah yang diterajui Datuk Ab Ghani Hassan mengambil serius isu hutang dan gaji ini.
"Untuk tahun ini kes Kelantan FC menjadi tular dan saya harap pasukan itu akan dapat selesaikan masalah mereka sebelum hujung musim ini," katanya yang memaklumkan MFL akan menyemak dokumen kewangan yang telah dihantar oleh pasukan pada Isnin.