Anwar selamat tiba di Nanning untuk hadiri CAEXPO ke-20

Iklan
Anwar selamat tiba di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, bagi menghadiri CAEXPO 2023 dan CABIS yang berlangsung dari 16 hingga 19 September.

 - Foto Bernama

NANNING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) yang berlangsung dari 16 hingga 19 September.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu pada 3.54 pagi waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, S Sanmugam dan Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Ahmad Phadil Mohamed Ismail.

Iklan

Turut menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Ahli Jawatankuasa Tetap Parti Komunis China Wenhao.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi Malaysia ke CAEXPO 2023 dan beliau dijadual berucap pada majlis perasmian ekspo itu dan CABIS bersama-sama Perdana Menteri China, Li Qiang serta para pemimpin ASEAN lain termasuk dari Laos dan Vietnam.

Iklan

Beliau juga akan merasmikan Astaka Malaysia di CAEXPO.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Li dan kedua-dua pemimpin akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Li.

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan sesi libat urus dengan gergasi korporat China selepas itu.

Ini merupakan kunjungan kedua Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas lawatan sulungnya ke republik itu pada Mac lepas di mana beliau melawat Beijing dan Hainan selepas dilantik pada November 2022.

Lawatan pertama beliau menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu. - Bernama