JOHOR BAHRU – Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar mendedahkan dirinya akan bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian tersebut pada pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan.
Menurut Zulkifli, biarpun belum diumumkan secara rasmi, pihaknya sudah pun melakukan persiapan menjelang pemilihan berkenaan.
"Insya-ALLAH, saya akan bertanding KB (Ketua Bahagian)...straight forward sahajalah, nak sorok pun tak guna dah. Orang akan tahu punya saya akan bertanding.
"Persediaan tu macam biasa, macam grass root (akar umbi) tu dan kita kena bina balik kepercayaan ahli-ahli kepada parti.
"Kalau tak ada kepercayaan ahli kepada parti ni, susah kita nak bentuk bahagian yang kuat termasuklah jentera yang solid (mantap),” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Meraikan Petugas dan Jentera PRK Pulai P161 di kediamannya pada Sabtu.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai (P161) lalu, Zulkifli tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dengan majoriti sebanyak 18,641 undi.
Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Zulkifli berkata, ia sebenarnya satu keputusan yang baik dan menunjukkan sokongan rakyat kini mula beralih kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).
Malah katanya, sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, PN mampu memenangi kerusi Parlimen Pulai pada PRK berkenaan.
"Kalau ikutkan bukan rasa kecewa kerana kita sasarkan macam Tan Sri kata iaitu 90 percent (peratus) pada PRK.
"Kalau tengok jumlah peratusan 47 peratus (47.33) keluar mengundi dan kalau dapat tambah hingga ke 75 peratus, kemenangan rasanya pada kita kerana kekuatan pada kita sebenarnya.
"Kalau tengok, cuma kalah dalam 6,000 dan bagi saya ia macam satu kemenangan juga, cuma belum masa lagilah...sekarang ni kita perlu berikan perhatian terhadap kepercayaan ahli lebih kepada parti,” katanya.