KUALA LUMPUR - Sebanyak 6,519 saman dikeluarkan pada hari kedua pelaksanaan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan tertinggi direkodkan ialah halangan lalu lintas sebanyak 4,819.
"Kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (247), tiada lesen memandu (194), nombor pendaftaran (76), tidak patuh lampu isyarat merah (53) dan lain-lain (1,213)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sarifudin berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut mengeluarkan 85 saman.
"Sebanyak sembilan buah motosikal turut disita sepanjang operasi terbabit.
"Kita turut melakukan lapan tangkapan atas pelbagai kesalahan seperti kes dadah dan memandu dalam keadaan mabuk," katanya.
Rabu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi fasa kedua itu akan tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan terbabit bermula 15 hingga 29 September.
Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.