NILAI - Keasyikan 92 warga Myanmar yang berhibur di tiga premis rumah kedai yang diubah suai secara haram menjadi pusat hiburan di Taman Semarak di sini tidak lama, apabila kegiatan tersebut terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa pada Sabtu.
Serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu dilakukan dalam Ops Bersepadu membabitkan 72 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Negeri Sembilan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, serbuan itu dijalankan hasil aduan orang awam mengenai kewujudan pusat hiburan haram warga asing di lokasi berkenaan dan pihaknya menahan seramai 65 lelaki dan 27 wanita.
"Berdasarkan hasil dokumentasi pula, seramai 39 didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen dan diserahkan kepada JIM, manakala selebihnya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai," katanya.
Difahamkan, pintu masuk setiap premis dilengkapi dengan kata laluan dan hanya pelanggan yang dikenal pasti dibenarkan masuk, selain premis dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV).
Selain itu, lagu dalam pusat hiburan berkenaan juga terdiri daripada lagu daripada bahasa ibunda mereka dengan bayaran RM30 bagi tempoh satu jam dengan menghidangkan minuman keras.
Ahmad Dzaffir berkata, premis berkenaan sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan pernah diserbu sebelum ini, namun pihak terlibat masih berdegil menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah.
Menurutnya, mereka turut dikesan beroperasi sehingga jam 6 pagi, selain aduan awam yang turut memaklumkan berlakunya kegiatan pelacuran membabitkan warga asing.
"Tetapi hasil pemeriksaan tidak menemui bukti yang menunjukkan kegiatan tersebut.
"Ketiga-tiga premis ini menjadi tumpuan warga Myanmar kerana terdapat penempatan warga asing di sekitar Taman Semarak. Hasil pemeriksaan juga mendapati mereka menyediakan minuman keras tanpa cukai," katanya.
Beliau berkata, warga asing yang diserahkan kepada JIM didapati melanggar peraturan mengikut Seksyen 39(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Mereka juga ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988 kerana beroperasi tanpa kebenaran selain siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.