KUALA LUMPUR - Menggunakan khidmat 'mummy' atau ibu ayam warga asing untuk mendapatkan pelanggan yang mahukan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) antara taktik dikesan pihak berkuasa menerusi serbuan di dua buah pusat hiburan di sekitar Cheras di sini pada Khamis.
Taktik terbabit dipercayai untuk memudahkan urusan pelanggan yang kebanyakannya turut terdiri daripada warga asing.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi kenyataan berkata, Op Noda dijalankan Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism D7 Bukit Aman di pusat hiburan tersebut berjaya memberkas 24 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing.
Menurutnya, pusat hiburan tersebut turut dikesan menjalankan kegiatan hiburan tanpa lesen.
"Siasatan mendapati kedua premis yang diserbu ini menggunakan khidmat 'mummy' atau ibu ayam warga asing untuk pelanggan berurusan mendapatkan khidmat pelayan GRO.
"Selain itu, mereka juga menjalankan hiburan berkonsepkan jualan kalungan bunga yang bermula dari RM100 hingga RM1,000 kepada pelanggan untuk diberikan sebagai tips kepada GRO dan bayaran terus dibuat kepada GRO yang dipilih oleh pelanggan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, semakan awal mendapati premis hiburan terbabit berselindung dalam bangunan rumah kedai dan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV).
"Kamera CCTV yang dipasang ini bertujuan memantau pergerakan sekitar terutamanya melibatkan kehadiran pihak berkuasa.
"Semakan mendapati pengusaha premis ini menggunakan warga asing untuk mengendalikan perniagaan," katanya.
Menurutnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).