Tradisi Kampung Padang Gelam berbuka puasa atas jalan tar

Iklan
Penduduk Kampung Padang Gelam, Kampung Pasir, Kampung Padang Pekan dan Kampung Naga menanti waktu berbuka puasa bersama juadah yang dihidangkan di atas permukaan tar yang menjadi tradisi unik sejak puluhan tahun lalu

JITRA - Penduduk Kampung Padang Gelam Mukim Naga di sini, masih meneruskan tradisi berbuka puasa beramai-ramai di atas permukaan tar seperti kebiasaan setiap kali tibanya Ramadan.

Pengerusi Penduduk Kampung Padang Gelam, Zainol Ahmad, 57, berkata, tradisi unik berkenaan berusia lebih 60 tahun dan masih diteruskan sehingga kini walau zaman sudah berubah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, saban tahun acara unik itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai peringkat umur.

"Tahun ini pun, lebih 400 penduduk termasuk yang tinggal di kampung berdekatan seperti Kampung Pasir, Kampung Padang Pekan dan Kampung Naga turut hadir memeriahkan majlis," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Iklan

Zainol berkata, pada awal 1950-an penduduk kampung hanya bersila di atas rumput untuk berbuka puasa.

Penduduk Kampung Padang Gelam dan sekitar menanti waktu berbuka puasa bersama juadah yang dihidangkan di atas permukaan tar yang menjadi tradisi unik sejak puluhan tahun lalu.

Iklan

"Sekarang ni zaman dah berubah, kita beralih kepada tar pula, tetapi lokasinya tetap sama iaitu di pekarangan surau di kampung ini," katanya.

Zainol berkata, mereka juga menyediakan menu tradisi iaitu gulai daging berserta nasi minyak yang dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Padang Gelam.

"Peruntukan untuk majlis ini adalah hasil sumbangan daripada penduduk kampung ini dan juga orang perseorangan.

"Melalui majlis ini, hubungan ukhuwah sesama penduduk dapat disemarakkan lagi selain dapat mendidik anak-anak muda tentang asal usul kita.

"Insya-ALLAH saya berharap tradisi ini akan diteruskan di masa akan datang supaya ia menjadi lambang kesepakatan dan keharmonian penduduk di sini," katanya.