SEBUYAU - Kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek penanaman padi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui secara prinsip oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, namun pelaksanaannya memerlukan sedikit masa.
"Peruntukan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah perlu dikoordinasikan dengan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak, selain itu perlu juga dapatkan persetujuan dari pemilik tanah (untuk pelaksanaan projek), terutamanya yang melibatkan Tanah Adat.
"Jenis padi yang akan ditanam pula adalah mengikut kesesuaian tanah di Sabah dan Sarawak. Saya fikir kosnya di sini agak tinggi, namun itu perkara kedua, apa yang penting mesti ada kemampuan sara diri, maknanya self-sufficiency untuk bekalan beras,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas menghadiri program Santuni Rakyat di Sekolah Kebangsaaan Haji Bujang, Sebangan dekat sini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang dan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Ahmad Zahid berkata, penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman wajib diberikan keutamaan untuk sebarang projek pembangunan terutama di Sarawak, dengan 1.4 juta penduduknya tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Sarawak telah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun, adalah menjadi tanggungjawab bersama kerajaan persekutuan dan negeri membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus bagi pembinaan Pusat Giat Mara di Sebangan yang akan dilaksanakan pada tahun ini. - Bernama