3R: ADUN Jengka dipanggil polis petang ini

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 13 September lalu. Gambar kecil: Shahril Azman

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim mengesahkan, dipanggil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan beliau memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di akaun TikTok, baru-baru ini.

Dakwa beliau, laporan polis adalah perkara biasa yang dilakukan oleh musuh politik dan ia sekadar untuk menakutkan Pas serta Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Iklan
Iklan

"Saya sudah dipanggil (polis) dan jam 5 petang ini, saya menemui pegawai penyiasat di Balai Polis Manchis, Bentong, Insya-Allah.

"Tindakan yang dikenakan terhadap saya tidak akan menggugat PN untuk terus memberi kefahaman kepada rakyat dan kita akan terus berlawan dengan DAP, PH (Pakatan Harapan) serta BN (Barisan Nasional)," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Pada 13 September lalu, Pegawai khas Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahmed Wafiuddin Shamsuri telah membuat laporan di Balai Polis Manchis atas dakwaan Shahril Azman memainkan sentimen 3R di akaun TikTok pemimpin Pas itu.

Ahmed Wafiuddin mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan yang menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan DAP.

Iklan

Beliau juga mendakwa video itu juga menunjukkan Shahril Azman yang sedang berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

PRK Pelangai diadakan susulan penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Oktober dengan hari penamaan calon pada 23 September manakala hari pengundian awal ialah 3 Oktober ini.

Mengulas lanjut isu itu, Shahril Azman berkata, kempen terbabit menjelaskan kepada orang Melayu tentang bahayanya doktrin Malaysian Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan dan dasar perjuangan DAP.

Jelasnya, namun kini kedudukan DAP diperkukuhkan dengan sokongan UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga berjaya membentuk kerajaan.

"Sebagai sebuah negara demokrasi, saya adalah ahli parti politik Pas dan wakil rakyat Pas berhak menyuarakan bantahan, memberi penjelasan kepada masyarakat serta amaran tentang bahaya konsep Malaysian Malaysia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya yakin penjelasan dan kempen saya tidak melanggar mana-mana undang negara dan selaras dengan prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara dalam perlembagaan," katanya.

Shahril Azman turut menjelaskan kepada masyarakat Melayu bahawa konsep sekular yang cuba diterapkan DAP adalah bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya sebenarnya telah melakukan perkara-perkara yang perlu dipertahankan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia selalu dicabar oleh ahli dan pemimpin parti DAP," ujarnya.