IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk merangkul gelaran pertama pada tahun ini tidak kesampaian setelah tewas kepada Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia dalam aksi final Terbuka Hong Kong, pada Ahad.
Dalam aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, pasangan yang berada di ranking ke-10 dunia itu bermula cemerlang apabila menang set pertama 21-14.
Bagaimanapun, aksi sengit berlangsung pada set kedua apabila pasangan Indonesia itu bangkit memungut mata demi mata untuk menang 24-22.
Memasuki set ketiga Pearly-Thinaah bagai hilang arah apabila pada satu ketika mereka ketinggalan 0-6 sebelum terpaksa akur tewas 9-21 dalam tempoh 73 minit permainan.
Pearly-Thinaah mara ke final setelah menundukkan gandingan adik-beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 pada aksi separuh akhir.
Apriyani-Siti Fadia yang mengisi ranking ke-12 dunia pula mengesahkan tiket ke final menerusi kemenangan ke atas Maiken Fruergaard-Sara Thygesen dari Denmark 21-16, 23-21.
Kejayaan tersebut menyaksikan pasangan Indonesia itu meraih tiga kemenangan daripada lima pertemuan ke atas Pearly-Thinaah.
Sebagai rekod, ini adalah pentas final kedua buat Pearly-Thinaah musim ini selepas muncul naib juara Masters Malaysia Mei lalu.