PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui pasukannya bakal berdepan tugas sukar untuk memadam kelebihan dua gol yang dimiliki Terengganu FC (TFC) pada aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ahad depan.
Menurutnya, kekalahan 0-2 kepada TFC itu menjadi pengajaran terbaik kepada pasukan dan perlu memperbaiki banyak kelemahan sebelum aksi suku akhir kedua nanti.
"Kita terpaksa bekerja keras untuk perlawanan kedua minggu depan. Kita perlu menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengatasi defisit gol itu.
"Pemain perlu mempersiapkan mental dan fizikal untuk kita cuba bangkit dan mengulangi pencapaian musim lalu mara ke separuh akhir dan akhir," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Cheng Hoe menyifatkan kelalaian di benteng pertahanan menjadi faktor pasukan bolos dua gol tersebut.
Malah, beliau turut mengakui para pemainnya lambat untuk menyesuaikan diri dan cuba mengawal permainan.
"Pasukan Terengganu bermain konsisten pada babak pertama manakala kita kurang kawal perlawanan dan juga gagal membuat hantaran dengan baik.
"Pertahanan kita juga sedikit longgar dan secara keseluruhan kita tidak dapat mengawal tempo perlawanan dengan kita kerap bertahan, dalam bola sepak bertahan bukan mudah untuk hentikan lawan daripada menjaringkan gol," katanya.