ISTANBUL - Tiga termasuk dua juruterbang hilang, manakala seorang lagi juruterbang diselamatkan selepas sebuah helikopter pemadam kebakaran terhempas ketika memadam kebakaran hutan di bandar pelabuhan Izmir, di barat Turkiye, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Ahad.
Memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli, penyiar NTV berkata, helikopter itu terhempas di daerah Menderes pada 11.53 malam waktu tempatan (2053 GMT) pada Sabtu.
Iklan
Iklan
Yumakli berkata helikopter itu merempuh Empangan Tahtali, tempat ia mengambil air.
NTV berkata, seorang juruterbang warga Kyrgyz diselamatkan selepas nahas itu dan operasi mencari dan menyelamat dua juruterbang lain dan seorang jurutera yang menaiki pesawat itu masih diteruskan.
Tiga helikopter bertugas untuk memadamkan kebakaran itu, katanya.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan berkata di X (Twitter), dua helikopter jenis AS-532 Komando Angkatan Darat menyertai usaha memadam kebakaran di Menderes.
Tidak dapat dipastikan sama ada helikopter yang terhempas itu adalah satu daripadanya. - Bernama-Xinhua