KUALA LUMPUR - Sekumpulan pemandu lori mendakwa hilang punca pendapatan selepas kenderaan milik mereka tidak dilepaskan daripada sitaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), walaupun sudah melangsaikan kompaun atas kesalahan lebih muatan.
Kumpulan terbabit turut mendakwa, ada pemilik lori sudah disenarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan berat itu yang mencecah RM6,000 sebulan.
Peguam, Muhammad Khairuddin Annuar berkata, seramai 18 anak guam sudah membayar denda, namun mereka menerima notis daripada JPJ untuk pelucutan hak.
"Tindakan ini tidak adil bagi anak guam saya kerana denda sudah dilangsaikan, ia amat menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada lori berkenaan,” katanya.
Muhammad Khairuddin berkata demikian ketika hadir bersama anak guam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk membuat laporan berhubung isu itu, pada Ahad.
Sementara itu, pemandu lori, Shanmagaraja Kannaga Raja, 43, berkata, dia antara pemandu lori yang hilang punca pendapatan selepas kenderaan berat miliknya disita JPJ pada Disember lalu.
"Denda sudah dibayar tetapi sehingga kini lori tidak dilepaskan bagaimana mahu cari makan? bank sudah hantar notis kepada saya untuk senarai hitamkan.
"Ini kali pertama lori saya disita, kami bukan bawa dadah, bukan bawa barang terlarang, kesalahan saya lebih muatan saja, malah cukai jalan dan semua dokumen masih sah dan lengkap semasa ditahan," katanya.
Seorang lagi pemandu lori Teh Chee Min, 58, turut meluahkan kekesalan apabila lori miliknya dikenakan notis pelucutan hak walaupun denda yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan lebih muatan sudah dijelaskan.
"Pemandu lori terpaksa membawa muatan lebih daripada dibenarkan berikutan kenaikan kos terutama harga minyak, harga tayar, dan lain-lain kos penyelenggaraan.
"Macam mana mahu hidup, kami mahu cari makan pun tidak boleh kerana kalau ikut had berat yang ditetapkan hendak tampung kos minyak pun kadang kala tidak mencukupi," katanya.
Chee min berkata, jika pemandu lori menaikkan caj penghantaran, harga barang akan bertambah naik.
"Ia untuk menampung kos perbelanjaan dan operasi yang tinggi ketika ini, bayangkan mahu tukar satu biji tayar meletup pun kami sudah pening kepala, kami bukan pencuri jadi saya rayu pihak berwajib lepaskan lori kami," katanya.
Sehubungan itu, kumpulan itu memohon pihak berkenaan khususnya JPJ dan Kementerian Pengangkutan meneliti semula undang-undang berkaitan had muatan serta melepaskan lori yang disita.