Rempuh anggota JPJ sebab tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

PUTRAJAYA - Tiada lesen selain cukai jalan tamat tempoh dipercayai menjadi punca seorang penunggang motosikal merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi sekatan jalan raya di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH), Negeri Sembilan pada Ahad.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan anggota JPJ sedang melakukan operasi penguatkuasaan di lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penunggang yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y125ZR itu bertindak melanggar sekatan dan merempuh anggota yang bertugas.

"Hasil daripada siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal tersebut didapati tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012 selain tiada perlindungan insurans.

Iklan

"Selain itu, semakan mendapati penunggang tersebut mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian berkenaan.

Iklan

"Penunggang terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Menurutnya, operasi khas motosikal yang dijalankan sejak 1 hingga 30 September ini di seluruh negara bertujuan mengukuhkan pembudayaan pematuhan peraturan keselamatan jalan raya.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan operasi penguatkuasaan yang dilakukan oleh JPJ.

Pada Ahad, tular video berdurasi lima saat memaparkan anggota penguat kuasa JPJ tersebut terpelanting dan terhantuk di kepala selepas dilanggar penunggang motosikal yang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.