MELAKA TENGAH - Malaysia negara pertama di rantau Asean dan keempat di dunia mengaplikasi teknologi 'Hybrid Assistive Limb' (HAL) dalam rawatan rehabilitasi bagi membantu orang berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional.
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, teknologi inovasi neuro-robotik dari negara Jepun itu merupakan hasil kolaborasi Perkeso bersama Syarikat Cyberdyne Incorporated Japan dengan penubuhan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics pertama negara di Pusat Rehabilitasi Tun Abd Razak, Ayer Keroh.
Menurutnya, sebanyak 24 set robot dengan teknologi HAL telah memberikan manfaat kepada 100 pesakit yang datang ke pusat berkenaan sejak ia mula diperkenalkan November tahun lalu.
"Teknologi itu bertujuan untuk membantu pesakit-pesakit yang lemah anggota badan mahupun lumpuh seperti akibat kemalangan untuk pulih semula dalam tempoh masa yang lebih singkat berbanding kaedah konversional yang sedia ada.
"Ini juga merupakan satu sistem luar biasa yang difahamkan digunakan tiga negara sahaja iaitu Jepun, Jerman dan di Malaysia.
"Yang penting kita harapkan agar doktor-doktor yang mengambil kes pesakit seperti itu memberi cadangan seberapa awal mungkin kepada pesakit untuk mencuba kemudahan tersebut," katanya.
Kula Segaran berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Neuro-Robotics Rehabilitation and Cybernic Cebtre Pertama negara di Pusat Rehabilitasi Perkeso, di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat turut mencadangkan Perkeso untuk memperluaskan kemudahan rawatan menggunakan robot HAL tidak hanya terhad kepada pesakit di bawah caruman Perkeso malah juga kepada bukan pencarum pada masa akan datang supaya kemudahan itu dapat membantu lebih ramai pesakit.
"Mungkin tempoh operasi waktu bekerja pusat ini boleh dipanjangkan bagi memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan sekali gus mengurangkan waktu menunggu terutama pesakit baharu.
"Dengan tempoh operasi itu dapat menjimatkan masa dan saya percaya tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan juga dari tiga bulan ke satu tempoh yang lebih singkat," katanya.
Dalam pada itu Kula Segaran turut melawat ruang pesakit dirawat serta menjalani latihan pemulihan dengan menggunakan set lengkap robot dan teknologi HAL.