TIADA istilah putus asa buat beregu wanita negara, M Thinaah dan Pearly Tan apabila akan kembali lebih kuat setelah impian mereka untuk menjuarai Terbuka Hong Kong pada Ahad tidak kesampaian.
Pasangan nombor 10 dunia itu tumpas 21-14, 22-24, 9-21 kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada aksi final dalam pertarungan selama satu jam 14 minit.
Thinaah mengakui bahawa pasangan Indonesia mempamerkan permainan lebih baik berbanding mereka yang kerap melakukan kesilapan mudah.
"Kami bakal kembali lebih baik dan akan cuba dapatkan keyakinan di dalam gelanggang.
"Enggan fikir perkara negatif, tetapi ambil yang positif. Kami akan perbaiki kelemahan untuk kembali lebih baik,” ujar Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam aksi penuh dramatik di Coliseum Hong Kong, Kowloon itu menyaksikan kecederaan kaki kanan yang dialami Pearly pada set ketiga meragut perjuangan mereka untuk memburu kejuaraan.
Pearly dilihat bergelut untuk mempamerkan permainan terbaik selepas terjatuh ketika beraksi pada kedudukan 6-18, sekali gus gagal menafikan kehebatan juara Terbuka Malaysia 2022 itu.
Justeru Pearly berharap kecederaan itu tidak menjejaskan persiapannya untuk mengharungi saingan Sukan Asia Hangzhou minggu depan.
Kekalahan gandingan negara menyaksikan rekod pertemuan mereka berpihak kepada pasangan Indonesia itu dengan tiga kemenangan berbalas dua.
Ini adalah pentas final kedua buat Pearly-Thinaah tahun ini selepas muncul naib juara Masters Malaysia Mei lalu.
Bergelar sebagai juara Apriyani-Siti Fadia membawa pulang AS$33,180 (RM155,404), manakala Pearly-Thinaah tetap berpuas hati dengan gelaran naib juara untuk menerima AS$15,960 (RM74,751).