Sentiasa dengar suara akar umbi - Fadhlina

Iklan
Fadhlina

SHAH ALAM - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek mengharapkan Mesyuarat Agung Wanita PKR peringkat cabang (MAWTC) berlangsung dalam suasana ukhuwah dan persaudaraan yang tinggi serta harmoni.

Beliau berkata, ia juga adalah refleksi penting untuk melakukan muhasabah secara kolektif khususnya dalam meneguhkan aspek kepimpinan.

Iklan
Iklan

"Memandangkan PKR kini sudah berada di tampuk pemerintahan nombor satu negara, peringatan untuk sentiasa menoleh ke suara akar umbi perlu dilakukan secara berterusan.

"Suara akar umbi sentiasa relevan dan vokal dalam menentukan hala tuju parti ini," ujarnya.

Iklan

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan beberapa pemimpin wanita daripada parti berkenaan yang menjadi tunjang dalam perjuangan antaranya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Fuziah Salleh, Dr Zaleha Mustafa, Nurul Izzah Anwar dan Rodziah Ismail.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menegaskan, cabaran utama yang dihadapi ialah untuk merangkul setiap kekuatan dan sedia menerima kelebihan serta kekurangan masing-masing memandangkan Kerajaan Perpaduan belum berusia setahun.

Iklan

"Di sinilah peranan sayap Wanita PKR dapat dimainkan dengan agresif menjulang martabat madani.

"Hak wanita sebagai manusia adalah sama iaitu mewarisi keadilan, kemanusiaan dan hukum.

"Tempat wanita bukan sahaja di sudut dapur, kamar berhias dan tepi taman menyiram orkid, tapi di sisi lelaki iaitu di mana sahaja, daripada pejabat sampai ke bulan,” kata Fadhlina.

Malah, tegas beliau, keadaan itu bersesuaian dengan kedudukan persatuan kini yang sudah bertapak di kementerian, negeri, kerajaan tempatan serta kampus-kampus.

"Peranan agar kita mengakar di sektor awam dan swasta juga harus dipergiatkan melalui pelaksanaan program bersifat pendidikan, keusahawanan dan ekonomi," katanya.