PESTABOLA Merdeka sememangnya cukup dikenali dan pernah menggamit banyak pasukan ternama dunia termasuk beberapa gergasi Asia untuk menyertai kejohanan tersebut.
Ia menjadi antara kejohanan bola sepak tertua di Asia sejak mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1957 dan dilancarkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
Kejohanan itu tidak pernah gagal diadakan sehingga 1988 dengan menyaksikan Malaysia beraksi menentang pasukan terbaik pada ketika itu seperti Korea Selatan, Jepun dan pasukan jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Namun, selepas 1988, kejohanan tersebut seolah-olah dipinggirkan apabila ia tidak dianjurkan seperti biasa selain banyak pasukan tidak berminat untuk menyertai Pestabola Merdeka.
Kali terakhir ia diadakan adalah pada 2013 dengan kejohanan tersebut umpama turun darjat dengan menampilkan pasukan bawah 23 tahun (B-23) dalam tiga edisi terakhir.
Selepas sedekad 'terkubur', Pestabola Merdeka kembali lagi dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu memastikan prestij kejohanan tersebut dirasai semula oleh peminat bola sepak negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, badan induk bola sepak negara itu akan melangkah setapak demi setapak untuk mengembalikan kegemilangannya.
Menurutnya, ranking pasukan negara yang semakin meningkat juga akan menjadi antara faktor untuk menjemput pasukan berkualiti menyertai kejohanan itu.
"Sebenarnya tugas agak sukar nak kembalikan macam dulu sebab kita terikat dengan kalendar FIFA yang mempunyai jumlah perlawanan terhad dan menyukarkan kita untuk membawa pasukan yang banyak.
"Kali ini kita ambil pasukan di ranking 80 hingga 90 dunia. Mungkin selepas ini, apabila ranking kita di kedudukan 110 atau 100 dunia, kita boleh cari pasukan di ranking yang lebih bagus,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Bagi Pestabola Merdeka 2023 yang memasuki edisi ke-42, FAM berjaya menjemput Palestin yang berada di ranking ke-96 dunia, India (99) dan Tajikistan (110) dunia.
Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden FAM berkata, Pestabola Merdeka kali ini akan menggunakan format kalah mati, namun tetap menjanjikan saingan yang sengit daripada semua pasukan.
"Walaupun tempoh agak singkat, namun kita yakin ia akan tetap meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti lain untuk penyokong.
"Kita juga dapat pasukan yang agak kuat dan saya yakin ia juga akan tetap menghiburkan dan menjadi perlawanan penting kepada pasukan negara menjelang aksi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia selain pusingan akhir Piala Asia Januari tahun depan,” jelasnya.
Harimau Malaya dijadualkan menentang India dan Palestin pula akan menentang Tajikistan pada 13 Oktober, manakala aksi penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 17 Oktober.
Untuk rekod, Malaysia menjulang trofi kemenangan 10 kali sejak 1958, muncul naib juara tujuh kali dan berkongsi juara dua kali dengan Korea Selatan pada (1960 dan 1979), manakala Korea Selatan memenangi tujuh kali.