Terpaksa naik harga makanan jika barang keperluan terus melonjak

Iklan
Pengusaha kedai makan dan restoran di daerah ini mengakui menunggu masa untuk menaikkan harga makanan. Gambar kecil dari kiri: Suzana, Noorazlinda dan Noraniza

KUANTAN - Pengusaha kedai makan dan restoran di daerah ini mengakui hanya menunggu masa untuk menaikkan harga makanan, jika barangan keperluan masih meningkat selepas ini.

Mereka mendakwa, buat masa ini harga makanan masih dikekalkan meskipun barang keperluan menunjukkan peningkatan ketara antara 41 hingga 60 peratus bagi beras dan gula, selain bahan mentah lain.

Iklan
Iklan

Peniaga nasi campur, Noorazlinda Abdul Razak, 45, memaklumkan ketika ini masih lagi mampu bertahan untuk mengekalkan harga jualan sedia ada.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga, jika barang keperluan seperti beras dan bahan mentah lain terus menerus meningkat.

Iklan

Tegasnya, itu antara alternatif akan diambil daripada terus menanggung kos operasi yang semakin meningkat.

"Bila saya naikkan harga makanan dijual, itu bermakna saya bukan suka-suka (naikkan harga), tapi dengan situasi barang makin naik.

Iklan

"Jika naikkan harga, saya akan pastikan harga makanan dijual berpatutan, bukan naik mendadak sampai pelanggan terkesan," katanya ketika ditemui di bandar Kuantan, pada Ahad.

Noorazlinda yang lebih 30 tahun mengusahakan perniagaan makanan berkata, pelanggan juga seharusnya memahami situasi yang sedang menekankan peniaga.

Selain itu, dia berharap kerajaan dapat mengambil cakna terhadap isu membelenggu rakyat terutamanya peniaga pada ketika ini.

Peniaga akui tersepit untuk menaikkan harga makanan.

"Kalau boleh kami hendak harga macam (seperti) dulu, tidak daya kalau hendak ikut harga bahan mentah sekarang, semua mahal," luahnya.

Suzana Mat Yasim, 57, yang berniaga makanan lebih 20 tahun mendakwa kenaikan harga barangan sudah lama berlaku dan seperti tidak dapat dikawal lagi.

Luahnya, situasi itu menyebabkan peniaga seperti tersepit dan bimbang kehilangan pelanggan sekiranya harga makan dinaikkan.

"Kalau fikirkan memang hendak saja naikkan harga makanan, tapi bila fikir tempat ini, kita tahu majoriti pelanggan datang adalah B40.

"Jadi, mahu tidak mahu kita kena bertahan selagi boleh menampung kos operasi," katanya.

Turut senada Noraniza Kamsani, 37, yang turut mengakui terkesan dengan kenaikan bahan mentah sejak akhir ini.

Dia yang mengusahakan perniagaan berasaskan makanan berkata, beras, gula dan bahan asas lain adalah bahan utama dalam hampir kesemua menu masakan.

"Namun saya terpaksa meneruskan aktiviti jualan kerana ini adalah salah satu sumber pendapatan keluarga," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu beberapa faktor perlu dipertimbangkan kerana kuasa membeli masa kini semakin kurang.

Selain itu, ujarnya, penetapan harga baru untuk jualan juga perlu diambil kira untuk mengelakkan kerugian.