Ilmu dituntut bukan setakat SPM sahaja

Iklan
Trend pelajar SPM yang tidak berminat menyambung pengajian ke peringkat universiti ini mencetuskan kebimbangan apabila menuntut ilmu dilihat tidak lagi penting dalam jiwa anak-anak remaja kini. - Gambar hiasan

BARU-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, jumlah itu diperolehi daripada data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada tahun 2020 pula, sejumlah 115,939 orang pelajar lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pula mendedahkan sekitar 300,000 pelajar lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran setiap tahun dan berkemungkinan memilih bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing.

Iklan

Trend pelajar SPM yang tidak berminat menyambung pengajian ke peringkat universiti ini mencetuskan kebimbangan apabila menuntut ilmu dilihat tidak lagi penting dalam jiwa anak-anak remaja kini.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan ilmu malah turut memberi kesan kepada sumber manusia negara khususnya terhadap usaha mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang 2030.

Iklan

Sebagai sebuah negara yang berkembang maju, trend ini dibimbangi akan menyebabkan negara kekurangan tenaga mahir atau pekerja di dalam bidang profesional.

Kebimbangan ini perlu diatasi segera oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dengan memandang serius kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan banyak implikasi negatif terhadap bidang ilmu dan tenaga mahir di negara ini.

Apakah anak-anak muda kini sudah menjadi mata duitan dengan sanggup mengetepikan bidang ilmu hanya semata-mata mahu bekerja untuk kehidupan yang lebih senang?

Apakah mereka fikir duit dan wang mampu merubah kehidupan mereka tanpa merasa kesal dengan mengenepikan bidang ilmu yang lebih penting dari segala-galanya?

Perasaan mengutamakan wang dari ilmu ini yang harus kita banteras kerana kita sedia maklum tanpa ilmu kita tidak akan berjaya di dunia mahupun di akhirat.

Dalam Islam sendiri mementingkan ilmu malah ia perlu dituntut hingga ke liang lahad. Nabi Muhammad SAW menerusi riwayat al-Imam Ibnu Majjah turut bersabda bahawa ‘Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin’.

Oleh itu, kita perlu terus menerus membaca, mengkaji serta menambahkan ilmu hinggalah ke akhir hayat.

Para ulama-ulama terdahulu, mereka memandang bahawa ilmu itu akan hidup dan berkembang terus dengan cara belajar dan membaca. Sebaliknya ilmu itu akan kering serta layu apabila berhenti belajar dan membaca.

Sebuah kata-kata masyhur oleh Imam Ibnu Abdul Barri berbunyi ‘Kamu sentiasa menjadi alim selagi mana kamu menjadi pelajar, maka apabila kamu merasa cukup, kamu telah menjadi jahil’.

Betapa cintanya para ulama terdahulu terhadap ilmu dan alangkah besarnya ilmu di dalam jiwa mereka.

Apakah kita mahu menjadi umat yang tidak berilmu hingga sanggup mengenepikan perkara yang dituntut dalam agama hanya semata-mata mahu senang di dunia?

Justeru itu, semua pihak terutamanya para ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memupuk fikiran dan jiwa anak-anak bahawa ilmu itu penting dan menjadi keutamaan sekiranya mahu berjaya di dunia dan akhirat.

Untuk menimbulkan minat pelajar kepada bidang ilmu bukannya sesuatu yang mudah, namun jika dipupuk dari rebung pastinya trend ini tidak berpanjangan jika semua pihak memainkan peranan.

Adalah besar harapan kita mahu melahirkan generasi berilmu dan berketrampilan agar negara kita diterajui oleh golongan bijak pandai bermula dari pemimpin hinggalah rakyatnya yang serba serbi berilmu. Sudah pasti kita berasa bangga.

Oleh itu, marilah kita menjadi umat dan generasi yang terus-menerus menuntut ilmu untuk kejayaan, kesejahteraan dan keberkatan dunia dan akhirat.

Bak kata pepatah tanpa ilmu manusia buta, tanpa iman manusia sengsara.

*Hamizah Basir ialah wartawan kandungan komersial Sinar Harian.