PENDEDAHAN yang dibuat oleh pegawai perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan atau dikenali Dr Malar baru-baru ini amat mengejutkan.
Bayangkan apabila beliau bertanyakan kepada sekumpulan pelajar dalam satu ceramah di sebuah sekolah di Ampang Selangor, apakah cita-cita mereka? Ramai yang mengangkat tangan mahu menjadi TikToker dan YouTuber.
Kongsi Dr. Malar,"Saya bertanya adik-adik Tingkatan Tiga. Siapa nak jadi doktor? Adalah dalam lima, enam orang angkat tangan.
"Siapa nak jadi jurutera? Dalam dua, tiga orang angkat tangan. Siapa nak jadi cikgu? Dalam empat, lima orang angkat tangan. Saya rasa pelik sangat sebab jumlah pelajar adalah lebih kurang 200 orang. Jadi dengan perasaan ingin tahu, saya bertanya, anda semua nak jadi apa?
"Masing-masing menjeritkan sesuatu dan saya tak berapa dengar apa mereka sebutkan tapi saya macam dapat tangkap beberapa perkataan. Maka, saya tanya, siapa nak jadi TikToker?
"Suku dewan tu angkat tangan, terutamanya murid perempuan yang duduk di belakang. Siapa nak jadi YouTuber? Lagi suku dewan angkat tangan, kali ini lelaki majoriti.
"Saya tergamam sekejap! Dengan itu, saya menjawab kepada adik-adik itu dengan muka penuh garang, menjadi TikToker bukannya satu pekerjaan,” katanya.
Benar, itulah realitinya pada masa kini. Realiti yang begitu menakutkan terhadap masa depan generasi hari ini untuk yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.
Andai dari sekarang mereka disogokkan dengan media sosial secara keterlaluan, digambarkan pula dengan keindahan dan kemewahan hidup sebagai influencer, maka tidak hairanlah apabila cita-cita mereka tidak berkembang.
Malah, lebih menakutkan apabila ada kalangan pelajar lelaki yang memberitahu bahawa dia tidak kisah jika gagal periksa kerana boleh menjadi rider.
Rider baginya adalah pekerjaan paling mudah mendapat wang. Justeru, datang ke sekolah sekadar memenuhi syarat ibu bapa.
Jadi di sinilah sebenarnya peranan ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan anak-anak bahawa media sosial itu bukan satu pekerjaan, ia hanyalah sampingan.
Pelajaran yang perlu diutamakan. Berikan contoh pempengaruh yang berpendidikan seperti Khairul Aming, Dr Malar dan ramai lagi yang boleh menjadi contoh terbaik.