SHAH ALAM - Tindakan sesetengah pihak mempersoalkan tugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan tanggungjawab sebagai penguat kuasa sepatutnya tidak berlaku.
Setiap tindakan yang dilaksanakan JPJ adalah berdasarkan undang-undang sedia ada dan individu di negara ini perlu mematuhi peraturan jalan raya agar tiada sebarang masalah bakal timbul.
Jika diteliti semula, setiap penguatkuasaan undang-undang adalah untuk kebaikan semua pengguna jalan raya kerana ia melibatkan soal nyawa dan keselamatan.
Rabu lalu, tular di media sosial motosikal penghantar makanan yang disita menarik perhatian orang ramai, sekali gus menyifatkan tindakan anggota JPJ adalah kejam.
Bagaimanapun, setelah JPJ Negeri Sembilan mendedahkan kesalahannya menerusi satu kenyataan, netizen merasakan ia wajar dilaksanakan.
Media melaporkan, cukai jalan motosikal ditunggang oleh penghantar makanan itu bukan sahaja sudah tamat tempoh sejak Februari lalu malah tiada insurans.
Begitu juga dengan insiden yang berlaku pada Ahad apabila seorang anggota penguat kuasa JPJ cedera selepas dirempuh penunggang motosikal dalam operasi sekatan jalan raya di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Masih ada sesetengah pihak menganggap tindakan sekatan jalan raya itu tidak wajar dilaksanakan kerana mengganggu lalu lintas tetapi hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan mendapati penunggang tersebut tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh serta masih memiliki dua senarai hitam aktif.
Jelas, setiap insiden yang berlaku serta tindakan dilakukan oleh anggota penguat kuasa adalah berdasarkan undang-undang sedia ada.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih sebelum meletakkan sebarang persepsi negatif terhadap anggota penguatkuasa terlibat dan tidak menghalang tugas penguat kuasa.
Ini kerana, terdapat satu akta yang boleh disabitkan sekiranya berbuat demikian iaitu Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas.
Tahun lalu, media melaporkan seorang buruh warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pegawai imigresen.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum sebanyak RM50,000.