BIARPUN berada dalam ‘kumpulan maut’ pada saingan Piala Agong 2023 kelak, pemain import skuad Johor, Abduvoris Karimov, 28, yakin skuad Johor mampu beraksi dengan baik di sepanjang kejohanan berkenaan.
Menurut pemain berasal dari Uzbekistan itu, setakat ini persiapan pasukan berjalan dengan lancar dengan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk beraksi.
"Persiapan Johor berada pada tahap terbaik dan ini membuatkan pemain teruja untuk berdepan pasukan-pasukan handalan seperti Kelantan dan juara musim lalu, Putrajaya.
"Oleh itu, kami (pemain), perlu mengekalkan disiplin dan mencuba sebaik mungkin ketika berdepan dengan pasukan-pasukan tersebut,” katanya.
Abduvoris berkata demikian ketika ditemui sempena Karnival Ragbi Johor 2023 di Stadium Ragbi Johor, pada Ahad.
Untuk rekod, bagi saingan edisi 2022 lalu, skuad Putrajaya muncul juara setelah menewaskan juara bertahan Terengganu, 18-15.
Sementara itu Abduvoris berkata, skuad ragbi Johor bakal beraksi di gelanggang sendiri apabila berdepan Kelantan bagi membuka saingan musim ini.
Katanya, sudah pasti kesemua pemain melakukan persediaan secukupnya menjelang perlawanan berkenaan.
"Macam saya katakan tadi.. persiapan pasukan ini agak baik dan berjalan dengan lancar ketika ini.
"Oleh itu, kami hanya memberikan fokus bagi mengharungi aksi bagi saingan di peringkat kumpulan kali ini dengan sebaik-baiknya untuk mara lebih jauh kali ini,” katanya.