JOHOR BAHRU – SW Corp Johor telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai persediaan dan langkah berjaga-jaga menghadapi bencana alam khususnya banjir susulan peralihan monsun.
Menurut Pengarah SWCorp negeri, Cairul Hisham Jalaluddin, SOP berkenaan diharap bakal membantu orang ramai susulan peralihan monsun yang dijangka berlaku mulai 19 September hingga November depan.
"Fasa peralihan monsun ini akan berterusan dari September ke November dan mungkin akan menyebabkan berlakunya banjir.
"Banjir ni pun sebenarnya kita tak boleh nak jangka...kadangkala bulan Februari, Mac atau Jun. Bila-bila boleh terjadi (banjir).
"Oleh itu langkah terbaik adalah untuk kita sentiasa bersiap siaga,” katanya pada sidang media sempena Program World Cleanup Day (WCD) Tahun 2023 Peringkat Negeri Johor di Kampung Pasir Gudang Baru di sini pada Ahad.
Sementara itu Cairul Hisham berkata, tapak pelupusan sampah baharu di Bukit Payung, Batu Pahat perlu segera beroperasi susulan peningkatan pembuangan sisa pepejal ketika ini.
Katanya, beberapa tapak pelupusan sampah seperti di Pekan Nanas sudah pun penuh, malah ada beberapa tapak yang sudah pun ditutup.
"Kalau ikutkan maklum balas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kemungkinan suku pertama 2024 tapak pelupusan di Bukit Payung itu dibuka.
"Tapi sekarang, tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas sudah penuh, manakala ada beberapa lokasi lain sudah ditutup dan ini menyebabkan keadaan menjadi kritikal ketika ini...sebab itu kita harap tapak baharu ini dapat segera beroperasi,” katanya.