JPJ kesan lori bawa muatan lebih had hingga 140 peratus

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita lori kerana mendapati kenderaan itu membawa muatan berat melebihi had mencecah 70 sehingga 140 peratus.

JPJ dalam kenyataan berkata, kenderaan berat yang membawa lebih muatan adalah berisiko kepada kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek dan teknikal kenderaan.

Iklan
Iklan

"Di samping itu, ia turut mengakibatkan kerosakan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan kepada kenderaan lain," katanya.

JPJ berkata, kenderaan berat yang dilesenkan untuk membawa muatan adalah tidak dibenarkan melebihi had berat mengikut kapasiti teknikal yang ditetapkan.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, JPJ menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) bersandar kepada prosedur di bawah akta berkenaan.

"Tindakan diambil bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 [Akta 715]," katanya.

Iklan

JPJ berkata, keputusan kes bagi tindakan itu adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak mahkamah.

"Justeru, pihak syarikat pengangkutan terlibat dinasihatkan untuk memohon dan menyelesaikan perkara tersebut berdasarkan prosedur yang ditetapkan bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 [Akta 715] dengan pihak mahkamah berkenaan," katanya.

Sementara itu, JPJ turut mengingatkan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Pihaknya turut menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan serta bekerjasama ke arah mengurangkan bilangan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Pada Ahad, media melaporkan sekumpulan pemandu lori mendakwa hilang punca pendapatan selepas kenderaan milik mereka tidak dilepaskan daripada sitaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), walaupun sudah melangsaikan kompaun atas kesalahan lebih muatan.

Kumpulan terbabit turut mendakwa, ada pemilik lori sudah disenarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan berat itu yang mencecah RM6,000 sebulan.