KUALA LUMPUR - Kerajaan kini sedang berusaha melakukan beberapa pindaan undang-undang termasuk melibatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan undang-undang boleh dilakukan namun mekanismenya itu selalunya mengambil masa lebih lama.
Menurutnya, jika boleh, kerajaan mahu melaksanakan pindaan undang-undang secara serentak supaya setiap pindaan itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap soalan daripada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH - Kuala Selangor) yang bertanya bilakah pindaan tersebut dapat dilaksanakan.
Dzulkefly:"Saya yakin dengan komitmen menteri dan jangan dibuat lagi runcit-runcit. Kita buat sekali gus.”
"Tapi Yang Berhormat, kalau selalunya nak bubar kerajaan, macam mana kami nak buat pindaan?”, celah Azalina.
"Tanya kawan-kawan sebelah sana, menteri...kawan-kawan kita sebelah sana. Kena ada kestabilan politik,” balas Dr Dzulkefly.
"Kalau setiap kali buat gerakan nak tukar kerajaan, susahlah begitu,” selar Azalina lagi. - Awani