IPOH - Penganjur ‘Konsert Viral Lagu TikTok’, A.Jee Event Entertainment memberi jaminan acara yang akan diadakan di Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang pada 30 September ini akan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk berhubung isu sensitiviti masyarakat setempat.
Pengurusnya, Hasnizam Alang berkata, beliau telah dipanggil oleh pihak polis serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi memberi keterangan dan maklumat lanjut berhubung konsert berkenaan, baru-baru ini.
Katanya, beliau telah memberi jaminan kepada pihak berkuasa bahawa penganjuran konsert tersebut akan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan.
"Baru-baru ni saya telah dipanggil oleh pihak berkuasa iaitu pihak polis dan saya telah menerangkan kepada mereka (memberi jaminan) yang mana penganjuran konsert berkenaan akan dijayakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
"Malah pihak MBSP memberi nasihat kepada kami untuk kami mematuhi dan akur kepada perkara-perkara tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Hadir sama, pengarah konsert merangkap Pengarah A.Jee Event Entertainment, Mohd Hammali Mohammed Yusoff.
Sebelum ini, lokasi konsert yang menampilkan Baby Shima, dan beberapa penyanyi dari Indonesia itu telah dipindahkan dari Dewan Millenium Kepala Batas ke Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang selepas mendapat bantahan penduduk setempat.
Ini kerana, penganjuran konsert berkenaan didakwa tidak mengambil kira sensitiviti penduduk setempat terutama dalam kalangan umat Islam.
Dalam pada itu, Mohd Hammali menafikan dakwaan di beberapa laman media sosial yang menyebut Konsert Viral Lagu TikTok telah dibatalkan susulan perkara itu.
Sebaliknya, jelas beliau, penganjuran konsert itu masih diteruskan dan menerima sambutan memberangsangkan selepas hampir 30,000 tiket yang setiap satu masing-masing berharga RM199 dan RM299 telah terjual sejak Mei lalu.
Mohd Hammali turut menjangkakan lebih 60,000 orang penonton yang bukan sahaja peminat tempatan, bahkan, penggemar dari Singapura, Thailand dan Brunei juga dijangka hadir memeriahkan Konsert Viral Lagu TikTok itu kelak.
"Saya harap tidak ada yang salah faham tentang konsep konsert ini. Ia bukan konsert untuk genre dangdut semata-mata, sebaliknya ia menampilkan kesemua genre lagu yang sering tular pada platform media sosial TikTok termasuk pop dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi terkenal, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 28, berkata di sebalik kontroversi yang melanda konsert berkenaan dan dirinya sebelum ini tidak mengganggunya dalam melakukan persiapan menjelang 30 September ini.
Baby Shima menjanjikan persembahan yang terbaik berbanding yang pernah ditampilkan sebelum ini kepada semua penonton yang hadir Konsert Viral Lagu TikTok itu.
"Saya akan tampil berlainan dengan apa yang pernah saya persembahkan selama ini. Kalau ada yang kata tentang gelek itu, mestilah saya kena bergelek. Sebab saya menyampaikan lagu dangdut, takkan hendak berdiri tegak sahaja.
"Walau bagaimanapun saya akan bersikap profesional dalam persembahan saya yang mana saya akan mempersembahkannya mengikut kesesuaian lagu daripada segi karakter dan konsep persembahan,” katanya. - Awani