Umum calon: PN dakwa dihalang guna kemudahan di DUN Pelangai

Iklan
Mohd Tarmizi, Andansura

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang mendakwa pihaknya telah dihalang untuk menggunakan kemudahan dataran dan padang awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi majlis pengumuman calon yang akan diadakan pada Rabu ini.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, susulan daripada halangan terbabit, pihaknya terpaksa mencari lokasi lain bagi tujuan itu.

Iklan
Iklan

"Cuma lokasinya belum dapat dimuktamadkan, insya-ALLAH petang esok (Selasa) kita boleh maklumkan lokasi majlis itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau mengakui parti gabungan itu menghadapi masalah walaupun permohonan untuk menggunakan padang atau dataran dalam DUN Pelangai sudah dibuat.

Iklan

"Contohnya, kita ada minta untuk gunakan padang awam, padang bola dan sudah ada padang yang kita bayar deposit, tetapi deposit itu dipulangkan atas tekanan oleh pimpinan atasan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, itu adalah perkara biasa yang dihadapi pihaknya.

Iklan

Ujarnya, PN sedang usahakan lokasi di tanah persendirian sekiranya dibenarkan untuk digunakan sebagai tapak.

"Buat masa ini kita ada beberapa pilihan dan kita akan maklumkan esok mengenai lokasinya. Dua lokasi yang kita mohon dalam kawasan Felda ditolak atas alasan seperti padang sedang dibaik pulih.

"Kawasan tempat awam tidak boleh guna, ada dua padang kampung satu kata memang tidak boleh guna untuk program parti, satu lagi boleh pada awalnya, dah bayar deposit tapi kemudian dia bagi balik deposit, mereka dakwa atas tekanan pimpinan atasan," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu berkata, kerajaan negeri mengamalkan politik lapuk apabila menyekat kemudahan awam untuk kegunaan parti pembangkang.

"Kita nampak, bila mereka (kerajaan) terkesan dengan pembangkang, mereka akan membuat halangan sama seperti menafikan peruntukan, tidak boleh berjumpa agensi kerajaan dan sebagainya.

"Jadi, Kerajaan Madani ini hanya cakap tapi tindakan bercanggah apa yang diperkatakan," jelasnya.