KEDAH Darul Aman (KDA) FC mahu memburu kemenangan pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran 2023 apabila turun menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada malam Selasa.
Pengendalinya, Nafuzi Zain mengakui Sang Kenari bakal menerima saingan sengit daripada pasukan tuan rumah yang kini dikendalikan oleh bekas Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak.
Nafuzi berkata, Piala Cabaran ini menjadi sasaran pasukannya untuk dijulang selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia pada musim ini.
"Kami perlu terus kekal fokus dan mengelak sebarang kelalaian apabila bertemu Kuching City FC pada suku akhir pertama ini.
"Sasaran adalah mahukan kemenangan melalui persiapan yang sedang kita lakukan sepanjang tempoh Liga Malaysia berehat," katanya mengulas aksi bertemu Kuching City FC yang kini berada di kelompok bawahan Liga Super 2023.
Jelas Nafuzi, kemenangan di Kuching perlu diraih sebelum aksi kedua suku akhir di Stadium Darul Aman pada 4 Oktober depan.
Katanya, Sang Kenari mahu menurunkan kesebelasan pada kemampuan terbaik pada perlawanan tersebut dan berharap taktikal yang telah dirancang dapat membuahkan hasil yang positif.
"Kuching City pasti tidak akan memberikan laluan mudah kepada kami kerana pada waktu yang sama di tempat mereka pada suku akhir pertama ini.
"Bagi Aidil juga sudah tentu dilihat perlawanan ini sebagai satu yang istimewa kepadanya kerana menentang bekas skuad kendaliannya. Kami perlu lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dengan pencaturan yang dirancang oleh beliau," ujarnya lagi.