BERKAT rezeki daripada jualan gula-gula anaknya, Tiara Candy, pelakon komedi, Achey membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menjadikan ia van jenazah untuk kegunaan secara percuma bagi pihak yang memerlukan.
Menurut Achey, ia adalah pencapaian jualan perniagaan puterinya hasil sokongan daripada warga maya yang membeli.
"Semoga semua dapat merasa hasilnya,” ujar Achey yang berkongsi video memaparkan kenderaan berupa KIA Carnival berwarna hitam yang tertera ‘Van Jenazah’ dan ayat-ayat suci al-Quran.
Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, selain perkhidmatan mengambil dan menghantar jenazah tanpa sebarang bayaran kepada golongan kurang berkemampuan, pihaknya juga menyediakan set kain kafan percuma.
"Walaupun kenderaan terpakai, kami percaya ia membantu.
"Peti jenazah belum siap, jadi belum beroperasi lagi. Insya-ALLAH kami cuba secepat mungkin.
"Untuk cover perjalanan yang dekat, insya-ALLAH. Doakan kami dapat sediakan van jenazah lagi untuk kawasan-kawasan yang memerlukan,” titip Achey.
Biarpun tidak sampai sebulan beroperasi, perniagaan menerusi platform TikTok Shop itu menunjukkan rekod jualan yang tinggi.Sebelum ini, jualan Tiara Candy pernah mencatat 21 juta tanda suka dan 3,000 pek terjual dalam tempoh dua jam.
Warganet sebak dan menjadikan perkongsian Achey sebagai inspirasi.
Ramai yang mendoakan agar keluarga itu dikurniakan rezeki melimpah ruah pada masa hadapan. - SinarPlus