UMNO Kedah gusar pembangunan masa hadapan KRC

Iklan
Shaiful Hazizy

ALOR SETAR - UMNO Kedah gusar dengan pembangunan masa hadapan Bandar Getah Kedah (KRC) berikutan pembatalan projek bernilai RM3 bilion oleh pelabur KRC iaitu Hong Seng Consolidated Berhad.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia memandangkan syarikat itu adalah antara pelabur terawal KRC yang membeli 42.49 hektar tanah bernilai RM45.74 juta pada 2020.

Iklan
Iklan

Katanya, UMNO Kedah memandang serius perkembangan itu, sekali gus kerajaan negeri dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) harus meneliti rundingan semula mengenai perjanjian awal projek pembinaan kilang pembuatan lateks nitrile butadiene latex (NBL) kononnya bagi meneroka penggunaan alternatif tanah itu.

"Keputusan mengenai penggunaan alternatif tanah itu harus dibuat secara teliti dan telus bagi mengelakkan kerugian bagi pihak KRC dan rakyat Kedah.

Iklan

"Secara tidak sedar, kegagalan pelaburan ini akan menyebabkan hilangnya lebih 3,000 potensi peluang pekerjaan untuk rakyat Kedah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, UMNO Kedah sentiasa menyokong sebarang keputusan bagi menarik pelabur di KRC.

Iklan

Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah berharap kerajaan negeri terus komited memudahkan segala urusan pelaburan masuk ke Kedah.

"UMNO Kedah berpandangan keputusan yang mengejutkan ini juga berpunca daripada kegagalan dan kelembapan pihak berkuasa tempatan mengurus keperluan tertentu terutamanya perihal pengambilalihan tanah tertentu yang sememangnya menjadi faktor kritikal bagi pembangunan KRC," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Hong Seng Consolidated Berhad membatalkan projek bernilai RM3 bilion untuk membina kilang NBL di KRC.

Melalui makluman kepada Bursa Malaysia pada 13 September lepas, syarikat itu berkata, ia telah membuat keputusan strategik untuk menggantung pembangunan kilang NBL memandangkan pelbagai faktor termasuk keperluan projek dan pembiayaan.