'Saya bukan nak jadi hero'

Iklan
Hanif Yusabra (dua dari kanan) ketika menyantuni Muhammad Nur Hakim (kanan) di Kuaters JPJ Pedas, Rembau pada Isnin.

REMBAU - [DIKEMAS KINI] "Saya bukan mahu menjadi hero sebaliknya tidak sempat mengelak kerana penunggang tersebut tiba-tiba menukar haluan dan memecut sebelum merempuh saya."

Demikian tegas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, yang cedera akibat dirempuh motosikal ketika sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad.

Iklan
Iklan

Muhammad Nur Hakim berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku sejak dia menganggotai pasukan JPJ tujuh tahun lepas.

"Ketika kejadian, SJR dijalankan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di laluan dua lorong. Satu lorong khas untuk pemeriksaan motosikal manakala lorong kanan untuk pemeriksaan kereta.

Iklan

"Saya berada di lorong kanan dan sedang memeriksa kereta. Kami sudah nampak lelaki itu memperlahankan motosikalnya dan lalu di lorong motosikal, namun secara tiba-tiba dia memecut dan menukar arah ke lorong kereta sebelum merempuh saya," katanya semasa lawatan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf di kediamannya di Kuaters JPJ Pedas di sini pada Isnin.

"Dalam video kejadian, dapat dilihat saya memegang kaki dan cuba bangun, tetapi rasa sakit. Pada masa itu memang fikiran saya kosong dan tidak tahu apa yang berlaku.

Iklan

"Selepas membuat X-ray, doktor memaklumkan tiada tulang yang patah atau kecederaan parah lain, namun bahagian belakang kepala terdapat tisu yang koyak dipercayai kerana terhentak pada jalan.

"Kaki kiri juga ada calar, bengkak dan rasa sakit kerana dipercayai terkena tayar motosikal," katanya.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, kejadian itu melibatkan nyawa anggota dan pegawai JPJ, malahan nyawa orang ramai, jadi orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, peka dan patuhi peraturan agar tidak memberikan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, dalam masa sama, apa yang berlaku tidak akan melumpuhkan semangatnya untuk meneruskan dan melaksanakan apa sahaja operasi yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya mengikut sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh jabatan.

"...Dan setiap kali kami melaksanakan SJR tentunya kami mempunyai perancangan yang baik dengan menyemak dari segi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan kawasan SJR dan kekuatan anggota barulah kita lakukan SJR itu.

"Dalam kejadian ini, penunggang itu sendiri yang menunggang dalam keadaan bahaya," katanya.