SINGAPURA - Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) berkata, ia telah membuat pendedahan perundangan serta tindakan yang tepat pada masa, relevan dan mencukupi yang berkaitan dengan siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menurut Pengarah Komunikasi Korporat MAS Jerome Lee, bank berkenaan sentiasa memberi makluman terbaharu kepada orang awam melalui kenyataan media membabitkan peristiwa penting dalam perkembangan siasatan kes itu.
"Kami memperincikan tindakan yang salah, pengurusan risiko yang buruk dan kelemahan kawalan pengubahan wang haram yang merupakan pelanggaran kepada peraturan-peraturan MAS.
"Dalam satu tindakan yang tidak pernah dibuat, MAS secara terbuka telah menamakan individu yang telah dirujuk kepada pendakwa awam," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada laman web bank itu hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab ulasan oleh Tan Chong Huat dan Chan Yuet Ann bertajuk"1MDB Saga: What The Public Need To Know" dan sepucuk surat dari Arjuna Mahendran berjudul"European Approach Is Not In Singapore’s Wider Interests”, masing-masing diterbitkan oleh The Business Times pada 18 April dan 23 April 2019.
Chong Huat dan Yuet Ann mencadangkan bahawa MAS perlu mendedahkan lebih banyak perkara-perkara tentang perundangan semasa perjalanan siasatan tetapi Mahendran, mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pendekatan ini.
Menurut Lee, dokumen-dokumen mahkamah yang difailkan terhadap individu-individu yang disabit dengan kesalahan berkaitan 1MDB mengandungi butiran terperinci mengenai salah laku mereka dan prosiding mahkamah juga diberi liputan secara meluas oleh media tempatan dan antarabangsa.
"Melalui penglibatan kami secara berterusan dengan kerjasama Perkongsian Industri Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Keganasan, MAS juga berkongsi dengan institusi kewangan lain mengenai pelbagai skim yang digunakan dalam kes 1MDB bagi membantu mereka mengesan transaksi haram yang sama.
"Tahap pendedahan ke atas kesalahan dalam 1MDB telah dibuat secara meluas dan belum pernah terjadi sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, dalam menimbangkan apa yang perlu didedahkan serta masa yang sesuai, langkah berhati-hati adalah diperlukan bagi memastikan bahawa siasatan penguatkuasaan undang-undang, di Singapura termasuk di negara lain, tidak akan terjejas.
Beliau menambah MAS akan terus membuat pendedahan yang wajar dan tepat pada masanya, selepas mengambil kira siasatan yang sedang berjalan serta perlindungan kerahsiaan yang mendasari kerjasama dan perkongsian maklumat dengan rakan sejawatnya di luar negara.- Bernama