Tiga beranak rentung sempat makan malam bersama

Iklan
Lapan unit rumah kedai dua tingkat di pekan Kota Kuala Muda, Kedah musnah dalam kebakaran pada jam lebih kurang 1 pagi Isnin. Gambar kecil: Azizah dan Linda

KOTA KUALA MUDA - Tiga beranak yang rentung dalam kebakaran rumah kedai dekat pekan Kota Kuala Muda di sini dikatakan sempat menikmati makan malam bersama sebelum kejadian.

Saudara terdekat, Linda Yee, 48, berkata, sepupunya, Lee Chew Fong, 61, bersama suami, Lim Yang Fong, 66, dan ibu, Yong Swee Lan, 92, sempat meluangkan masa makan malam bersama keluarga di Bertam pada Ahad sebelum datang ke lokasi sebagai persiapan untuk berniaga di pasar pagi Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara kebiasaan keluarga itu bermalam di rumah mereka di Bertam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang namun mengambil keputusan untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan.

"Mereka kelihatan seronok ketika makan malam bersama beberapa ahli keluarga lain tetapi saya tak sangka terima berita pagi ini ada kebakaran di pekan Kota Kuala Muda, Kedah.

Iklan

"Saya dah agak mungkin keluarga sendiri bila tengok alamat saya dah tahu," katanya.

Kebakaran menyebabkan tiga beranak rentung dalam kejadian membabitkan lapan unit rumah kedai dua tingkat musnah dekat pekan Kota Kuala Muda, Kedah.

Menurut Linda, mereka bertiga tinggal di Bertam selepas membeli rumah di sana sejak setahun lalu dan hanya pulang ke rumah kedai itu untuk berniaga pakaian dan kelengkapan lain.

Iklan

Difahamkan, pasangan suami isteri itu merupakan generasi ketiga yang mewarisi perniagaan dari datuk dan nenek mereka.

Sementara itu, mangsa, Azizah Jaafar, 70, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kedainya turut musnah.

Lokasi mangsa ketiga yang rentung ditemukan di bawah timbunan sisa kebakaran berdekatan tangga.

Katanya, kedai itu dibeli oleh arwah suaminya kira-kira 20 tahun lalu dan disewakan kepada peniaga kedai perabot dengan kadar RM400 sebulan.

"Terkejut juga bila tahu kedai terbakar, tetapi apa boleh buat,"jelasnya sebak.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kebakaran kira-kira jam 1 pagi itu, tiga beranak rentung dalam kejadian membabitkan sekurang-kurangnya lapan unit rumah kedai dua tingkat di pekan Kota Kuala Muda, Kedah.