MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menjelaskan isu berhubung 'ketiadaan' Pulau Langkawi pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut Hannah, LTdL 2023 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 September ini tanpa melibatkan pulau legenda itu bukan kali pertama berlaku sepanjang 26 tahun edisi lalu.
Malah, beliau memberitahu, setiap penganjur LTdL masih mengekalkan nama Langkawi sebagai ikonik jelajah berbasikal berstatus ProSeries dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.
"Pemilihan laluan edisi ke-27 tahun ini pada asalnya dicadangkan untuk melewati sebanyak mungkin bandar raya, bandar dan pekan kecil di Semenanjung Malaysia.
"Tetapi hasil penilaian teknikal, laluan hanya melibatkan 11 buah negeri (di Semenangjung) dengan jarak keseluruhan 1,278.1 kilometer (km) yang merangkumi lapan peringkat perlumbaan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi KBS di Dewan Rakyat pada Isnin.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah membangkit pertanyaan berkenaan 'ketiadaan' Pulau Langkawi pada LTdL 2023.
Malah, beliau turut mencadangkan di Parlimen, LTdL ditukarkan kepada Le Tour de Malaysia atau Le Tour de Madani selepas Langkawi tidak menjadi laluan perlumbaan edisi kali ini.
Sebelum ini, Sukan Sinar turut melaporkan reaksi Mohd Suhaimi selepas pihak penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Langkawi tiada dalam peta LTdL 2023.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, pemilihan laluan LTdL mengambil kira kos logistik selain berdasarkan faktor untuk mengekalkan cabaran tinggi serta sukar yang amat sinonim dengan LTdL.
"LTdL merupakan jenama khusus sukan berbasikal yang dikenali di peringkat antarabangsa. Mengikut rekod kami 11 daripada 26 edisi berlangsung dengan laluan dipilih tanpa melibatkan Pulau Langkawi," jelasnya.
Untuk rekod, LTdL yang dianggap perlumbaan terulung di Asia berlangsung 'tanpa' Pulau Langkawi pada edisi 2002, 2004, 2006, 2008, 2009, 2010, 2012, 2013, 2016, 2017 dan 2018.