Bekalan beras putih tempatan kurang sebab pembelian panik - Mat Sabu

Iklan
Mohamad

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu bahawa kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran terjadi kerana berlaku pembelian panik atau 'panic buying' oleh pengguna dan peniaga.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, apabila beras import naik harga, permintaan terhadap beras putih tempatan melonjak.

Iklan
Iklan

"Bila berlaku kenaikan harga beras import begitu tinggi, yang selalu beli beras import berubah (pembelian) ke beras tempatan menyebabkan berlaku kekurangan (bekalan di pasaran).

"Sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan sangat termasuk oleh para peniaga," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Iklan

"Warga asing pun perlu makan, jangan lupa mereka bekerja dan berkhidmat untuk membangunkan negara kita," ujarnya.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sebelum itu mencelah dan meminta Mohamad menyatakan keputusan kerajaan terhadap cadangan larangan pembelian beras kepada warga asing.

Iklan

Mohamad menegaskan, beliau yakin langkah-langkah intervensi yang dilakukan dalam isu kekurangan beras tempatan itu termasuk pelaksanaan Operasi Beras Putih Tempatan akan dapat menangani masalah itu.

Dari segi kedudukan stok bekalan beras negara, menurutnya, sehingga kini stok bekalan beras negara adalah sebanyak 900,000 tan metrik membabitkan 250,000 tan metrik simpanan stok dan 650,000 tan metrik stok dagangan.

"Jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

"Sehubungan itu kementerian berpandangan bahawa masih belum terdapat keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan simpanan stok yang berjumlah 250,000 tan metrik," jelasnya.

Katanya, stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan metrik adalah mencukupi bagi menampung keperluan domestik.